Kitab Muktamar Ulama Baghdad-Dialog Sunnah-Syiah pada abad ke 5 Hijrah (bhg.1-2)


BAHAGIAN PERTAMA                                            

                                             

                                Bismillahir Rahmanir Rahim

 

 

Pendahuluan, Latar Belakang Malik Syah Dan Nizam al-Mulk, Sebab Yang Mencetuskan Dialog,  Dialog Raja Dengan Wazirnya Tentang Syi‘ah, Cadangan Bagi Mengadakan Dialog Antara Sunnah Dan Syi‘ah, Demi Kebenaran, Syarat-Syarat Dialog Dan Lain-Lain.   

 

Pendahuluan

 

Segala puji bagi Allah, selawat dan salam kepada Muhammad yang berbangsa Arab diutuskan sebagai rahmat kepada semesta alam dan keluarganya yang suci serta para sahabatnya yang setia.

 

       Wa ba‘du, dan selepas itu, maka ini adalah Kitab Muktamar Ulama’ Baghdad sebagai hasil dialog di antara Sunnah dan Syi‘ah yang telah dianjurkan oleh raja yang disegani Malik Syah Saljuqi di bawah penyeliaan seorang alim yang juga disegani wazir Nizam al-Mulk.

 

Latar Belakang Malik Syah Dan Nizam al-Mulk

 

Sesungguhnya Malik Syah bukanlah seorang yang fanatik buta, mengikut bapa-bapa dan moyang-moyangnya dengan perasaan asabiah buta. Malah beliau adalah seorang pemuda yang mempunyai minda terbuka, cintakan ilmu dan para ulama. Pada masa yang sama beliau leka dengan permainan dan perburuan.

Wazirnya Nizam al-Mulk adalah seorang lelaki yang bijaksana dan zuhud, mempunyai kemahuan yang kuat, mencintai kebaikan dan ahlinya. Sentiasa ingin mengetahui hakikat sesuatu perkara. Beliau amat mencintai keluarga Rasulullah s.a.w. Beliaulah yang telah mengasaskan Madrasah Nizamiyyah di Baghdad. Beliau telah memberi gaji bulanan kepada ahli ilmu. Dan  beliau mengasihani golongan fakir dan miskin.

 

Sebab Yang Mencetuskan Dialog

 

Pada suatu hari seorang alim yang masyhur bernama al-Husain bin Ali al-‘Alawi, seorang pemuka ulama Syi‘ah telah datang kepada Malik Syah. Manakala beliau keluar dari sisi Malik Syah, seorang di kalangan  hadirin telah memperolok-olokkannya dan menjeling kepadanya, maka Malik Syah berkata: Kenapa anda telah memperolok-olokkannya? Lelaki itu berkata: Tidakkah anda mengetahui, wahai raja, bahawa dia adalah di kalangan golongan kafir di mana Allah telah memurkai dan melaknati mereka? Raja berkata di dalam keadaan hairan, kenapa? Tidakkah dia seorang muslim?

Lelaki itu berkata: Tidak, dia adalah seorang Syi‘ah!

Raja berkata: Apakah pengertian Syi‘ah? Tidakkah Syi‘ah satu golongan daripada golongan muslimin?

Lelaki itu berkata: Tidak, sesungguhnya mereka tidak mengakui khilafah Abu Bakr, Umar dan Uthman.

Raja berkata: Adakah di sana orang Islam yang tidak mengakui kepimpinan mereka bertiga?

Lelaki itu berkata: Ya, mereka itu adalah Syi‘ah.

Raja berkata: Jika mereka tidak mengakui kepimpinan para sahabat tersebut, kenapa orang ramai menamakan mereka muslimin?

Lelaki itu berkata: Justeru itu, aku telah berkata kepada anda bahawa sesungguhnya mereka adalah kafir…, maka raja berfikir dengan serius, kemudian berkata: Wazir Nizam al-Mulk mesti datang bagi menjelaskan hal ini.

 

Dialog Raja Dengan Wazirnya Tentang Syi‘ah

 

Raja telah memerintahkan Nizam al-Mulik supaya datang kepadanya dan bertanya kepadanya tentang Syi‘ah: Adakah mereka muslimun?

Nizam al-Mulk berkata: Ahl al-Sunnah berselisih pendapat, maka sebahagian mereka berkata bahawa Syi‘ah adalah muslimun, kerana mereka mengucap “Tiada tuhan melainkan Allah dan sesungguhnya Muhammad adalah pesuruh Allah, mereka sembahyang dan mereka berpuasa. Sebahagian lain pula berkata bahawa sesungguhnya mereka adalah kafir.

Raja berkata: Berapakah bilangan mereka? Nizam al-Mulk berkata: Aku tidak menghitung bilangan mereka dengan tepat, tetapi mereka mewakili separuh bilangan muslimin lebih kurang (taqriiban)[1].

Raja berkata: Adakah separuh muslimin kafir? (fa-hal nisfu muslimin kuffaar). Wazir berkata: Ahli ilmu menganggapkan mereka kafir, tetapi aku tidak mengkafirkan mereka.

 

Cadangan Bagi Mengadakan Dialog Antara Sunnah Dan Syi‘ah

 

Raja berkata: Adakah anda, wahai wazir, boleh mengumpulkan para ulama Syi‘ah dan Sunnah supaya kita dapat mengetahui hakikat sebenar?

Wazir berkata: Ini adalah satu perkara yang susah, aku khuatir  keselamatan raja dan negaranya!.

Raja berkata: Kenapa?

             

Keengganan Nizam Al-Mulk Untuk Mengadakan Dialog

 

Wazir berkata: Kerana persoalan Syi‘ah dan Sunnah bukanlah perkara yang mudah, malah ia adalah persoalan hak dan batil. Sesungguhnya darah telah banyak mengalir kerananya, banyak perpustakaan dibakar kerananya, wanita-wanita ditawan kerananya, kitab-kitab banyak dikarang kerananya dan telah berlaku peperangan kerananya.

 

Desakan Raja Malik Syah Supaya Diadakan Dialog

 

Raja yang muda itu merasa hairan tentang keadaan ini, lalu beliau berfikir dengan serius, kemudian berkata: Wahai wazir, sesungguhnya anda mengetahui bahawa Allah telah mengurniakan kepada kita  kerajaan yang besar, tentera yang ramai, maka kita wajib bersyukur kepada Allah di atas nikmat ini dan kesyukuran kita itu adalah  dengan mengetahui hakikat sebenar; kita menunjuk orang yang sesat kepada jalan yang benar.

 

Demi Kebenaran

 

Pasti salah satu daripada dua golongan ini di atas kebenaran dan yang satu lagi di atas kebatilan, kita mesti mengetahui  kebenaran, maka kita mengikutnya dan kita mesti mengetahui kebatilan, maka kita meninggalkannya. Justeru itu, anda hendaklah menyediakan, wahai wazir, muktamar seumpama ini dengan kehadiran para ulama Syi‘ah dan Sunnah, kehadiran ketua-ketua tentera, penulis-penulis dan semua pembesar negara. Apabila kita melihat bahawa sesungguhnya kebenaran itu bersama Ahl al-Sunnah, maka kita masukkan Syi‘ah kepada Ahl al-Sunnah dengan kekuatan.

Wazir berkata: Apabila Syi‘ah tidak mahu memasuki mazhab Ahl al-Sunnah apakah anda akan melakukannya?

Raja berkata: Kita bunuh mereka!

Wazir berkata: Adakah boleh membunuh separuh bilangan muslimin?

 

Penawar Dan Penyelesaiannya?

 

Raja berkata: Apakah penawar dan penyelesaian?

Wazir berkata: Anda tinggalkan perkara ini.

 

Dialog di antara  raja dan wazirnya yang bijaksana telah berakhir, tetapi raja telah menghabiskan masa satu malam berfikir dengan serius mengenainya tanpa tidur sehingga pagi. Bagaimana perkara yang penting ini tidak dipatuhi? Pada pagi hari raja telah memanggil Nizam al-Mulk dan berkata kepadanya: Baiklah kita memanggil ulama dua golongan itu, kita akan melihat sepanjang perbincangan di antara dua golongan itu, kebenaran di pihak mana. Apabila kebenaran bersama mazhab Ahl al-Sunnah, kita menyeru Syi‘ah dengan hikmah, nasihat yang baik dan kita menggalakkan mereka dengan harta dan pangkat sebagaimana Rasulullah s.a.w telah melakukannya kepada golongan yang dijinakkan hati mereka (muallaf). Dengan itu kita boleh berkhidmat kepada Islam dan kaum muslimin.

 

Kekhuatiran Nizam Al-Mulik Untuk Mengadakan Muktamar

 

Wazir berkata: Pendapat anda itu baik, tetapi sesungguhnya aku khuatir tentang muktamar ini!

Raja berkata: Kenapa khuatir?

Wazir berkata: Aku khuatir Syi‘ah akan mengalahkan Ahl al-Sunnah dan hujah-hujah mereka mengatasi hujah-hujah kita, justeru itu, orang ramai akan terjatuh di dalam syak dan kesamaran!

Raja berkata: Adakah itu boleh terjadi?

      Wazir berkata: Ya, kerana Syi‘ah mempunyai dalil-dalil yang pemutus, hujah-hujah yang terserlah daripada al-Qur’an dan hadis-hadis yang  membenarkan mazhab mereka dan kebenaran akidah mereka![2].

 

 

 

 

Persedian Dialog Hanya Lima Belas Hari

 

Raja tidak berpuas hati dengan jawapan wazirnya, lalu berkata kepadanya: Tidak dapat dielakkan daripada mengadakan dialog di antara dua golongan itu supaya kebenaran terserlah kepada kita dan kita membezakannya dari kebatilan. Kemudian wazir meminta tangguh sebulan bagi melaksanakan perintahnya, tetapi raja yang muda itu tidak menerima penangguhan itu. Dan akhirnya beliau menentukan masa hanya lima belas hari sahaja.

Di dalam lima belas hari, wazir Nizam al-Mulk telah mengumpulkan sepuluh orang lelaki di kalangan ulama Ahl al-Sunnah yang besar, pakar di dalam bidang sejarah, fikah, hadis, Usul dan debat. Sebagaimana beliau mengumpulkan sepuluh orang ulama  di kalangan Syi‘ah yang besar.

 

Syarat-Syarat Dialog

 

Dialog adalah pada bulan Sya‘ban[3] di Madrasah Nizamiyyah di Baghdad dan beliau telah menetapkan bahawa muktamar diadakan dengan syarat-syarat berikut:

 

Pertama: Perbincangan akan berterusan daripada waktu pagi sehingga petang dikecualikan pada masa sembahyang, makan dan rehat.

Kedua: Perbincangan mestilah bersandarkan kepada rujukan-rujukan yang dipercayai dan kitab-kitab yang muktabar, bukan  secara dengar kata orang atau propaganda.

Ketiga: Perbincangan yang berlaku di muktamar ini hendaklah ditulis.

 

Pembukaan Muktamar

 

Pada hari yang ditetapkan, raja, wazirnya dan ketua-ketua tenteranya duduk dan para ulama Ahl al-Sunnah duduk di kanannya. Sementara para ulama Syi‘ah duduk di kirinya. Wazir Nizam al-Mulk telah membuka muktamar dengan Bismillahir Rahmanir Rahim, selawat kepada Muhammad dan keluarganya serta para sahabatnya. Kemudian beliau berkata: Dialog mestilah bersih, dan matlamatnya adalah untuk mencari kebenaran. Justeru itu, janganlah menyebut seorang sahabat Rasulullah s.a.w dengan cacian atau kejahatan.

 

 

Dialog Tentang Sahabat

 

Pembesar ulama Ahl al-Sunnah bernama Syeikh al-‘Abbasi berkata: Sesungguhnya aku tidak boleh berbincang dengan mazhab yang mencaci semua sahabat.

Pembesar ulama Syi‘ah bernama al-Husain bin Ali dikenali dengan al-‘Alawi berkata: Siapakah yang mengkafirkan semua sahabat?

Al-‘Abbasi berkata: Kamu Syi‘ahlah yang mengkafirkan semua sahabat (yukaffiruuna kulla al-Sahabat).

Al-‘Alawi berkata: Kata-kata anda ini menyalahi kenyataan. Tidakkah di kalangan para sahabat itu adalah Ali a.s, al-‘Abbas, Salman Ibn ‘Abbas, al-Miqdad, Abu Dhar dan lain-lain, adakah kami Syi‘ah mengkafirkan mereka?

Al-‘Abbasi berkata: Aku maksudkan dengan semua sahabat itu adalah Abu Bakr, Umar, Uthman dan pengikut-pengikut mereka.

Al-‘Alawi berkata: Anda telah bercanggah dengan diri anda sendiri, tidakkah ahli ilmu Mantiq menetapkan bahawa (mujibat juz’iyyah bertentangan dengan (saalibat Kulliyyah), anda berkata pada satu ketika bahawa Syi‘ah mengkafirkan semua sahabat dan anda berkata pula bahawa Syi‘ah mengkafirkan sebahagian sahabat.

 

Wazir Mahu Campur Tangan

 

Di sini Nizam al-Mulk mahu bercakap, tetapi seorang alim Syi‘ah tidak membiarkannya, lalu berkata: Wahai wazir yang mulia, tiada seorang yang berhak bercakap melainkan apabila kami lemah dari menjawabnya. Jika tidak, ia akan bercampur-aduk dengan perbincangan dan mengeluarkan percakapan dari tempatnya, tanpa keputusan.

Kemudian seorang alim Syi‘ah berkata: Ternyata, wahai al-‘Abbasi, bahawa kata-kata anda bahawa Syi‘ah mengkafirkan semua sahabat adalah pembohongan yang jelas.

Al-‘Abbasi tidak dapat menjawabnya, maka mukanya kemerahan kerana malu, kemudian berkata: Tinggalkan kami daripada perkara ini, tetapi adakah kamu Syi‘ah mencaci Abu Bakr, Umar dan Uthman?

Al-‘Alawi berkata: Sesungguhnya di kalangan Syi‘ah ada golongan yang mecaci mereka dan ada golongan yang tidak mencaci mereka.

Al-‘Abbasi berkata: Dan anda, wahai al-‘Alawi, daripada golongan mana?

Al-‘Alawi berkata: Di kalangan mereka yang tidak mencaci sahabat, tetapi aku berpendapat bahawa sesungguhnya golongan yang mencaci sahabat mempunyai logik mereka. Dan cacian mereka kepada mereka bertiga tidak membawa kepada apa-apa; tidak kafir, tidak fasiq dan tidak pula berdosa kecil [4].

Al-‘Abbasi berkata: Adakah anda telah mendengar, wahai raja, apa yang sedang dikatakan oleh lelaki ini?

 

Al-‘Abbasi Cuba  Mendapat Sokongan Raja

 

Al-‘Alawi berkata: Wahai al-‘Abbasi, sesungguhnya percakapan yang anda tujukan kepada raja itu adalah satu kesalahan, kerana raja mengumpulkan kita untuk berbincang dengan hujah dan dalil, bukan dengan hukuman  senjata dan kekuatan.

Raja berkata: Apa yang dikatakan oleh al-‘Alawi itu adalah betul, apakah jawapan anda, wahai al-‘Abbasi?

Al-‘Abbasi berkata: Jelas sekali bahawa barangsiapa yang mencaci sahabat adalah kafir.

Al-‘Alawi berkata: Ia jelas di sisi anda dan bukan di sisiku, apakah dalil kekafiran orang yang mencaci sahabat berdasarkan ijtihad dan dalil, adakah anda mengakui bahawa orang yang dicaci oleh Rasul berhak dicaci?

Al-‘Abbasi berkata: Aku mengakuinya.

                         

Rasul Mencaci Abu Bakr Dan Umar

 

Al-‘Alawi berkata: Maka Rasul telah mencaci Abu Bakr dan Umar.

Al-‘Abbasi berkata: Di manakah beliau s.a.w telah mencaci mereka? Ini adalah pembohongan terhadap Rasulullah.

Al-‘Alawi berkata: Ahli sejarah di kalangan Ahl al-Sunnah telah menyebut bahawa Rasul telah menyediakan tentera di bawah pimpinan Usamah dan beliau s.a.w telah menjadikan Abu Bakr dan Umar di dalamnya dan bersabda: Allah melaknati orang yang mengundurkan diri daripada tentera Usamah” (La‘ana llahu man takhallafa ‘an jaisyi Usamah) Kemudian Abu Bakr dan Umar telah mengundurkan diri[5]daripada tentera Usamah. Justeru itu, laknat Rasul meliputi mereka. Barangsiapa yang dilaknati Rasul, maka berhak bagi orang muslim melaknatinya pula.

Di sini al-‘Abbasi menggelingkan  kepalanya tanpa berkata apa-apa.

 

Raja Meminta Penjelasan

 

Raja berkata kepada wazir: Adakah apa yang dikatakan oleh al-‘Alawi itu benar?

Wazir berkata: Ahli Tawaarikh telah menyebutnya[6].

Al-‘Alawi berkata: Jika mencaci sahabat adalah haram, kenapakah kamu tidak mengkafirkan Mu‘awiyah bin Abu Sufyan, kamu tidak menghukum kefasikannya dan kejahatannya, kerana dia telah mencaci Imam Ali bin Abu Talib a.s selama empat puluh tahun. Kemudian cacian kepadanya berterusan kepada tujuh puluh tahun? [7]

 

Raja Meminta Pertukaran Tajuk

 

Raja berkata: Potong percakapan ini dan bercakaplah tentang tajuk yang lain.

 

Al-Qur’an

 

Al-‘Abbasi berkata: Di antara bid‘ah-bid‘ah  kamu Syi‘ah bahawa kamu tidak mengakui al-Qur’an!

Al-‘Alawi berkata: Malah bid‘ah-bid‘ah kamu Ahl al-Sunnah bahawa kamu tidak mengakui al-Qur’an. Dalilnya kamu berkata: Sesungguhnya al-Qur’an telah dikumpulkan oleh Uthman, adakah Rasul jahil apa yang dilakukan oleh Uthman; beliau s.a.w tidak mengumpulkan al-Qur’an sehingga Uthman datang dan mengumpulkannya, kemudian beliau berkata: Bagaimana al-Quran tidak dikumpulkan pada zaman Nabi sedangkan Nabi memerintahkan kaumnya dan para sahabatnya supaya mengkhatamkan al-Qur’an dan bersabda: Barangsiapa yang mengkhatamkan al-Qur’an baginya pahala” Adakah boleh Nabi s.a.w memerintahkan supaya al-Qur’an dikhatamkan sedangkan ia belum dikumpulkan, dan adakah kaum muslimin di dalam kesesatan sehingga Uthman menyelamatkan mereka? [8]

                                  

Raja Meminta Penjelasan

 

Raja berkata kepada wazirnya: Adakah benar kata-kata al-‘Alawi bahawa al-Qur‘an dikumpulkan oleh Uthman?

Wazir berkata: Demikianlah ahli Tafsir dan Tawaarikh menyebutnya[9].

Al-‘Alawi berkata: Ketahuilah, wahai raja,  sesungguhnya Syi‘ah percaya bahawa al-Qur’an telah dikumpulkan pada masa Rasul sebagaimana kamu melihatnya sekarang, tanpa kurang meskipun satu huruf, tanpa penambahan meskipun satu huruf. Adapun Ahl al-Sunnah berkata: Sesungguhnya al-Qur’an telah ditambah dan dikurangkan, didahului dan dikemudiankan. Sesungguhnya Rasul tidak mengumpulkannya, tetapi Uthmanlah yang telah mengumpulkannya apabila beliau memegang jawatan khalifah.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

                                                                                                         

 

 

                                     BAHAGIAN KEDUA                                   

 

 

 

Khalifah, Raja Meminta Penjelasan, Mengikuti Mereka Terdahulu, Khalifah Rasulullah, Raja Meminta Pertukaran Tajuk, Penyelewengan al-Qur’an, Sifat Tuhan, Muhkamah Dan Mutasyaabihah Dan Lain-Lain.

     

Khalifah

 

Al-‘Abbasi berkata: (Dia telah mengambil peluang): Adakah anda telah mendengar, wahai raja, sesungguhnya lelaki ini tidak menamakan Uthman khalifah, dia menamakannya amir sahaja.

Al-‘Alawi berkata: Ya, Uthman bukanlah seorang khalifah.

Raja berkata: Kenapa?

Al-‘Alawi berkata: Sesungguhnya Syi‘ah percaya kebatilan khilafah     Abu Bakr, Umar dan Uthman!

Raja berkata: (Dengan hairan dan tanda tanya) kenapa?

Al-‘Alawi berkata: Sesungguhnya Uthman telah dilantik melalui enam ahli majis syura [10] yang ditetapkan oleh Umar. Semua ahli majlis syura yang enam tidak melantik Uthman, hanya beliau dilantik oleh tiga atau dua orang daripada mereka. Justeru itu, kesahihan Uthman bergantung kepada Umar. Dan Umar berkuasa melalui wasiat Abu Bakr. Justeru itu, kesahihan Umar bergantung kepada Abu Bakr. Abu Bakr berkuasa melalui perlantikan kumpulan yang kecil di bawah penguasaan pedang dan kekuatan. Lantaran itu, kesahihan khilafah Abu Bakr bergantung kepada senjata dan kekuatan. Lantaran itu, Umar berkata tentang haknya: Baiah orang ramai kepada Abu Bakr adalah sercarafaltatan jahiliyah[11]. Allah telah menjaga muslimin akan kejahatannya. Barangsiapa yang kembali kepadanya, maka kamu bunuhlah dia.

Abu Bakr sendiri berkata: Pecatlah aku, kerana aku bukanlah orang yang paling baik di kalangan kamu sedanagkan Ali  di sisi kamu. Justeru itu, Syi‘ah percaya bahawa khilafah mereka bertiga adalah batil daripada asasnya.

 

Raja Meminta Penjelasan

 

Raja berkata kepada wazir: Adakah benar apa yang dikatakan oleh al-‘Alawi tentang kata-kata Abu Bakr dan Umar?

Wazir berkata: Ya, demikianlah apa yang disebutkan oleh ahli sejarah![12]

 

Mengikuti Mereka Terdahulu

 

Raja berkata: Kenapakah kita menghormati mereka bertiga?

Wazir berkata: Kerana mengikuti mereka terdahulu yang baik (al-Salaf al-Salih)!

Al-‘Alawi berkata kepada raja: Wahai raja, katakanlah kepada wazir: Adakah kebenaran lebih berhak diikuti atau orang yang terdahulu (al-Salaf al-Salih)? Tidakkah mengikuti mereka terdahulu (Salaf) yang menyalahi kebenaran itu terkandung di dalam firman Allah dalam Surah al-Zukhruf (43): 23 “Sesungguhnya kami mendapati bapa-bapa kami menganut suatu agama dan sesungguhnya kami adalah pengikut jejak-jejak mereka”?!

 

Khalifah Rasulullah

 

Raja berkata: (Ditujukan kepada al-‘Alawi) Jikalaulah mereka bertiga bukan khalifah Rasulullah, maka siapakah khalifah Rasulullah?

Al-‘Alawi berkata: Khalifah Rasulullah adalah Imam Ali bin Abu Talib.

Raja berkata: Kenapa dia menjadi khalifah?

Al-‘Alawi berkata: Kerana Rasul telah menentukannya sebagai khalifah selepasnya. Rasul telah memberi isyarat kepada khilafahnya pada tempat yang banyak. Di antaranya di satu tempat di antara Makkah dan Madinah bernama Ghadir Khum [13]. Beliau s.a.w telah mengangkat tangan Ali dan bersabda kepada muslimin: Barangsiapa yang telah menjadikan aku maulanya, maka Ali adalah maulanya, wahai Tuhanku, hormatilah orang yang mewalikannya dan tentanglah orang yang bermusuhan dengannya, tolonglah orang yang menolongnya, hinalah orang yang menghinanya”.

Kemudian beliau s.a.w turun dari mimbar dan berkata kepada kaum muslimin- Bilangan mereka melebihi seratus dua puluh ribu orang-Berilah salam kepada Ali untuk kepemimpinan muslimin”  Mereka telah datang kepada Ali seorang demi seorang seraya berkata kepada Ali: Al-Salamu ‘alaika ya Amir al-Mu’minin. Kemudian Abu Bakr dan Umar datang, lalu memberi salam kepada Ali a.s bagi kepemimpinan muslimin. Umar berkata: Alangkah beruntungnya anda wahai Ibn Abi Talib, anda telah menjadi maulaku dan maula semua mukmin dan mukminat[14]. Justeru itu, khalifah yang sah bagi Rasulullah adalah Ali bin Abu Talib.

 

Raja Meminta Penjelasan

 

Raja berkata kepada wazirnya: Adakah benar apa yang dikatakan oleh al-‘Alawi?

Wazir berkata: Ya, demikianlah ahli sejarah dan ahli tafsir telah menyebutnya.

 

Raja Meminta Pertukaran Tajuk

 

Raja berkata: Tinggalkan tajuk ini dan bercakaplah tentang tajuk yang lain.

 

Penyelewengan Al–Qur’an

 

Al-‘Abbasi berkata: Sesungguhnhya Syi‘ah berkata tentang penyelewengan al-Qur’an (tahriif).

Al-‘Alawi berkata: Malah ia masyhur di sisi kamu, wahai Ahl al-Sunnah, sesungguhnya kamu berkata tentang penyelewengan al-Qur’an![15]

Al-‘Abbasi berkata: Ini adalah pembohongan yang jelas.

Al-‘Alawi berkata: Tidakkah kamu meriwayatkan di dalam kitab-kitab kamu bahawa sesunggunya ayat tentang al-Gharaaniq telah turun ke atas Rasulullah, kemudian ia dimansuhkan dan dibuang daripada al-Qur’an?

Raja berkata kepada wazir: Adakah benar apa yang didakwa oleh al-‘Alawi?

Wazir berkata: Ya, demikianlah telah disebutkan oleh ahli Tafsir.

Raja berkata: Bagaimana dipegang atau dipercayai Qur’an yang diselewengkan?

Al-‘Alawi berkata: Ketahuilah, wahai raja, sesungguhnya kami tidak berkata sedemikian. Sesungguhnya ini adalah pendapat Ahl al-Sunnah. Justeru itu, al-Qur’an di sisi kami boleh dipercayai, tetapi al-Qur’an di sisi Ahl al-Sunnah tidak boleh berpegang kepadanya!

Al-‘Abbasi berkata: Beberapa hadis terdapat di dalam kitab-kitab kamu dan daripada para ulama kamu?

Al-‘Alawi berkata: Hadis-hadis itu, pertamanya: Sedikit, kedua: Ia adalah mauduk dan dipalsukan di mana musuh-musuh Syi‘ah telah menciptakannya untuk mencemarkan imej Syi‘ah. Ketiga: Perawi-perawinya dan sanad-sanadnya tidak benar. Dan apa yang dipindahkan daripada ulama, maka ia tidak boleh dipegang. Sesungguhnya para ulama kami yang besar di mana kami berpegang kepada pendapat mereka, tidak berkata tentang penyelewengan al-Qur’an (tahriif). Mereka tidak menyebut ayat-ayat al-Qur’an tentang pujian kepada berhala-berhala sebagaimana kamu menyebutnya bahawa kamu berkata: Dia berfirman[16]:

 

Itulah al-Gharaaniq yang tinggi

                        Daripadanyalah syafaat diharap-harapkan

 

Raja Meminta Pertukaran Tajuk

 

Raja berkata: Tinggalkan tajuk ini dan bercakaplah tentang tajuk yang lain.

 

Sifat Tuhan

 

Al-‘Alawi berkata: Ahl al-Sunnah mengaitkan kepada Allah perkara yang tidak layak dengan kebesaran-Nya.

Al-‘Abbasi berkata: Seumpama apa?

Al-‘Alawi berkata: Umpamanya mereka berkata: Sesungguhnya Allah mempunyai jisim seperti manusia ketawa dan menangis, bagi-Nya tangan, kaki, mata, aurat dan kemasukan satu kaki-Nya ke dalam neraka pada hari Kiamat[17], sesungguhnya Dia turun dari langit kepada langit dunia di atas seekor keldai kepunyaan-Nya!

Al-‘Abbasi berkata: Apakah yang menghalangnya daripada perkara tersebut sedang al-Qur’an menjelaskannya di dalam Surah al-Fajr (89):22 “Dan datanglah Tuhan mu; sedang malaikat berbaris”, Firman Allah di dalam Surah al-Qalam (68): 42 “Pada hari betis disingkapkan” dan firman Allah di dalam Surah al-Fath (48):10 “Tangan Allah di atas tangan mereka”. Hadis telah menceritakan bahawa sesungguhnya Allah memasukkan satu kaki-Nya pada neraka!

Al-‘Alawi berkata: Adapun hadis tersebut adalah batil di sisi kami, satu pembohongan dan rekaan semata-mata, kerana Abu Hurairah dan orang seumpamanya telah membohongi Rasulullah  (s.a.w) sehingga Umar telah melarang Abu Hurairah dari memindahkan hadis dan mencegahnya[18].

 

Raja Meminta Penjelasan

 

Raja berkata kepada wazir-: Adakah benar bahawa Umar telah melarang Abu Hurairah dari memindahkan hadis?

Wazir berkata: Ya, dia telah melarangnya sebagaimana di dalam kitab-kitab Tawaarikh.

Raja berkata: Bagaimana kita berpegang dengan hadis Abu Hurairah?

Wazir berkata: Kerana ulama telah berpegang kepada hadis-hadisnya.

Raja berkata: Jikalaulah begitu, ulama mesti lebih alim daripada Umar, kerana Umar telah melarang Abu Hurairah dari memindahklan hadis kerana pembohongannya terhadap Rasulullah, tetapi ulama mengambil hadis-hadisnya yang bohong?!

Al-‘Abbasi berkata: Lihatlah, wahai al-‘Alawi, sekiranya hadis-hadis tentang Allah tersebut tidak benar, tetapi apakah yang anda lakukan dengan ayat-ayat al-Qur’an tadi?

 

Muhkamah Dan Mutasyaabihah

 

Al-‘Alawi berkata: Al-Qur’an ada ayat-ayat Muhkamaah yang merupakan Ummu al-Kitab dan ada ayat-ayat Mutasyaabihaah, ada zahir dan batin. Justeru itu, ayat Muhkamah yang zahir diamalkan menurut zahirnya. Adapun ayat Mutasyaabihah diturunkan di dalam bentuk majaaz dan kinaayah. Jikalau tidak,  maka maknanya tidak sah pada  akal dan syarak. Umpamanya apabila anda membawa pengertian firman Allah di dalam Surah al-Fajr (89):22 “Dan datanglah Tuhan mu; sedang malaikat berbaris” di atas pengertian zahirnya, maka anda bertentangan dengan akal dan syarak, kerana akal dan syarak menghukum kewujudan Allah pada setiap tempat dan setiap tempat tidak sunyi daripada-Nya selama-lamanya. Ayat tersebut pada zahirnya menunjukkan Allah itu berjisim dan jisim baginya ruang dan tempat. Ini bererti jika Allah berada di langit, maka Dia tidak berada di bumi. Jika Dia berada di bumi, maka Dia tidak berada di langit, ini adalah tidak benar pada akal dan syarak.

Al-‘Abbasi telah gementar di hadapan logik ini dan tercengang untuk menjawabnya. Kemudian dia berkata: Aku tidak boleh menerima percakapan ini dan wajib di atas kita mengambil pengertian zahir kesemua ayat al-Qur’an.

Al-‘Alawi berkata: Apakah anda lakukan dengan ayat-ayat Mutasyaabihah? Anda tidak boleh mengambil pengertian semua ayat al-Quran secara zahir, jika tidak, sahabat anda yang sedang duduk di sisi anda bernama syeikh Ahmad Uthman (Seorang yang buta penglihatannya, di kalangan sepuluh wakil Ahli al-Sunnah) daripada ahli neraka?

Al-‘Abbasi berkata: Kenapa?

Al-‘Alawii berkata: Kerana Allah berfirman di dalam Surah al-Israa’ (17) 72 “Dan barangsiapa yang buta di dunia ini, nescaya di akhirat nanti ia akan lebih buta dan lebih tersesat dari jalan (yang benar)”,  syeikh Ahmad adalah seorang buta di dunia, maka dia di akhirat akan lebih buta dan lebih tersesat dari jalan yang benar,  adakah anda reda dengan perkara ini, wahai syeikh Ahmad?

Syeikh Ahmad berkata: Tidak sekali-kali, sesungguhnya apa yang dimaksudkan dengan orang yang buta  (al-A‘maa) di dalam ayat: Orang yang menyeleweng dari kebenaran.

Al-‘Alawi berkata: Jikalaulah  begitu keadaannya, maka tetaplah bahawa manusia tidak boleh beramal dengan semua ayat al-Qur’am secara zahir.

 

Raja Meminta Pertukaran Tajuk

 

Dari sini perdebatan sekitar zahir al-Qur’an telah berlaku dengan hangat. Al-‘Alawi telah mengalahkan al-‘Abbasi dengan dalil dan hujah sehingga raja berkata: Tinggalkan tajuk ini dan tukarlah kepada tajuk yang

 

Penyelewengan Dan Kebatilan Ahl Al-Sunnah

 

       Al-‘Alawi berkata: Di antara penyelewengan dan kebatilan kamu-Ahl al-Sunnah tentang Allah bahawa kamu berkata: Sesungguhnya Allah memaksa hamba-hamba-Nya untuk melakukan maksiat dan perkara-perkara yang haram, kemudian Dia menyeksa mereka kerananya?

Al-‘Abbasi berkata: Ini adalah benar, kerana Allah berfirman di dalam Surah al-Nisaa’ (4): 88 “Barangsiapa yang disesatkan Allah” dan di dalam Surah al-Taubah (9): 93 “Dan Allah telah mengunci mati hati mereka”.

Al-‘Alawi berkata: Adapun kata-kata anda bahawa ia ada di dalam al-Qur’an, maka jawapannya: Sesungguhnya al-Qur’an ada majaaz dan ada kinayaat. Maka apa yang dimaksudkan dengan al-Dhalaal (kesesatan) bahawa Allah meninggalkan manusia yang celaka dan membiarkannya sehingga dia sesat iaitu sebagaimana kata-kata kita: Sesungguhnya kerajaan telah merosakkan orang ramai”. Ini bererti kerajaan telah meninggalkan mereka dengan keadaan mereka tanpa mengambil berat tentang nasib mereka, ini adalah yang pertama dan kedua: Tidakkah anda mendengar firman Allah di dalam Surah al-A‘raaf (7): 28 “Sesungguhnya Allah tidak menyuruh perbuatan yang keji”,  firman-Nya di dalam Surah al-Insaan (76): 3 “Sesungguhnya Kami telah menunjukkannya jalan yang lurus; ada yang bersyukur dan ada yang kafir” dan firman-Nya di dalam Surah al-Balad (90): 10 “Dan Kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan”. Ketiga: Tidak harus pada akal bahawa Allah menyuruh kepada kemaksiatan, kemudian Dia menyeksa pelakunya. Ini adalah jauh sekali daripada orang awam melakukannya dan bagaimana dengan Allah Yang Maha Adil dan Maha Tinggi. Maha Suci Allah daripada apa yang dikatakan oleh musyrikin dan golongan yang zalim.

Raja berkata: Tidak, tidak, tidak mungkin Allah memaksa manusia melakukan kemaksiatan, kemudian menyeksanya, ini adalah satu kezaliman. Sesungguhnya Allah adalah bersih daripada kezaliman dan kejahatan. Allah berfirman di dalam Surah Ali Imraan (3): 182 “Sungguhnya Allah tidak menganiaya hamba-hamba-Nya”, tetapi aku tidak fikir bahawa Ahl al-Sunnah berpegang kepada kata-kata al- ‘Abbasi?

 

Raja meminta Penjelasan

 

Kemudian raja berpaling kepada wazir sambil  berkata: Adakah Ahl al-Sunnah berpegang atau berpendapat sedemikian?

Wazir berkata: Ya, ia adalah masyhur di kalangan Ahl al-Sunnah berpegang sedemikian!

Raja berkata: Bagaimana mereka berkata dengan apa yang menyalahi akal?

Wazir berkata: Bagi mereka takwilan dan dalil-dalil.

Raja berkata: Sekalipun ada takwil dan dalil, maka ia tidak masuk akal dan aku tidak berpendapat selain daripada pendapat Sayyid al-‘Alawi bahawa Allah  tidak memaksa seseorang ke atas kekafiran dan kemaksiatan, kemudian menyeksanya di atas perkara tersebut.

 

Rasulullah S.A.W  Syak Pada Kenabiannya

        

Al-‘Alawi berkata: Kemudian sesungguhnya Ahl al-Sunnah berkata bahawa Rasulullah s.a.w telah mengesyaki pada kenabiannya sendiri.

Al-‘Abbasi berkata: Ini adalah pembohongan yang nyata.

Al-‘Alawi berkata: Tidakkah kamu melihat di dalam kitab-kitab kamu menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Tidak terlambat Jibrail ke atasku sekali melainkan aku menyangka bahawa dia turun kepada Ibn al-Khattab” (Ma abta’a Jibrail ‘alayya marratan illaa wa zanan-tu anna-hu nazala ‘ala Ibn al-Khattab) sedangkan di sana terdapat beberapa ayat al-Qur’an yang menunjukkan bahawa Allah telah mengambil perjanjian daripada Nabi Muhammad s.a.w di atas kenabiannya?

 

Raja Meminta Penjelasan

 

Raja berkata kepada wazir: Adakah benar apa yang dikatakan oleh al-‘Alawi bahawa hadis ini ada di dalam kitab-kitab Ahl al-Sunnah?

Wazir berkata: Ya, ia ada di dalam beberapa kitab Ahl al-Sunnah[19].

Raja berkata: Ini adalah kafir secara langsung (al-Kufr bi-‘Aini-hi).

 

 

Mencaci Rasulullah S.A.W

 

Kemudian Ahl al-Sunnah mengatakan di dalam cacian mereka bahawa Rasulullah s.a.w telah membawa ‘Aisyah di atas bahunya bagi membolehkannya melihat ahli musik, adakah ini layak dengan makam Rasulullah dan kedudukannya?

Al-‘Abbasi berkata: Ia tidak memudaratkan [nya ][20].

Al-‘Alawi berkata: Adakah anda akan melakukannya sedangkan anda seorang lelaki biasa, adakah anda membawa isteri anda di atas bahu anda untuk membolehkannya melihat ahli musik??

 

Raja Mencelah

 

Raja berkata: Orang yang mempunyai sedikit malu dan cemburu tidak akan reda dengan perkara ini, bagaimana dengan Rasulullah yang menjadi cotoh “malu dan cemburu” serta keimanan. Adakah benar perkara ini ada di dalam kitab-kitab Ahl al-Sunnah?

Wazir berkata: Ya, ia ada di dalam sebahagaian kitab-kitab Ahl al-Sunnah!

Raja berkata: Bagaimana kita beriman dengan seorang nabi yang mengesyaki pada kenabiannya sendiri?

Al ‘Abbasi berkata: Riwayat ini mesti ditakwil?

Al-‘Alawi berkata: Adakah riwayat ini layak ditakwil? Adakah anda mengetahui, wahai raja, bahawa Ahl al-Sunnah mempercayai khurafat-khurafat dan kebatilan-kebatilan?

Al-‘Abbasi berkata: Khurafat-khurafat dan kebatilan-kebatilan yang mana anda maksudkan?

 

Khurafat-Khurafat Ahl Al-Sunnah

 

Al-‘Alawi berkata: Aku telah menerangkan kepada anda bahawa kamu Ahl al-Sunnah berkata:

 

  1. Sesungguhnya Allah adalah seperti manusia bagi-Nya tangan, kaki,  pergerakan dan diam.
  2. Sesungguhnya al-Qur’an telah diselewengkan dan padanya pertambahan dan kekurangan[21].
  3. Sesungguhnya Rasul melakukan perkara-perkara yang tidak dilakukan oleh manusia biasa seperti memikul ‘Aisyah di atas bahunya.
  4. Sesungguhnya Rasul telah mengesyaki kenabiannya sendiri.
  5. Sesungguhnya mereka yang telah datang sebelum Ali bin Abu Talib telah bersandar kepada pedang dan kekuatan untuk menegakkan diri mereka dan tanpa sandaran yang sah bagi mereka.
  6. Sesungguhnya kitab-kitab mereka meriwayatkan bahawa Abu Hurairah dan seumpamanya adalah terdiri di kalangan mereka yang memalsukan hadis-hadis, di kalangan dajal-dajal dan ahli kebatilan yang lain.

 

Raja Meminta Pertukaran Tajuk

 

Raja berkata: Tinggalkan tajuk ini dan tukar kepada tajuk yang lain.

 

Mengaitkan Perkara Yang Tidak Layak

 

Al-‘Alawi berkata: Kemudian bahawa sesungguhnya Ahl al-Sunnah mengaitkan kepada Rasulullah s.a.w perkara yang tidak layak walaupun kepada manusia biasa!

Al-‘Abbasi berkata: Seperti apa?

Al-‘Alawi berkata: Seperti mereka berkata: Sesungguhnya Surah   ‘Abasa (80): 1-2 “Dia bermuka masam dan berpaling, kerana telah datang seorang buta kepadanya” telah diturunkan tentang Rasul [22]!

Al-‘Abbasi berkata: Apakah yang menghalangnya?

Al-‘Alawi berkata: Yang menghalangnya adalah firman Allah di dalam Surah al-Qalam (68): 4 “Dan sesungguhnya kamu benar-benar berbudi pekerti yang agung” dan firman-Nya di dalam Surah al-Anbiyaa’ (21): 107 “Dan tiadalah Kami mengutus kamu, melainklan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam” Adakah masuk akal bahawa Rasul yang disifatkan oleh Allah dengan akhlaknya yang agung dan menjadi rahmat kepada alam semesta melakukan perbuatan yang tidak berperi kemanusiaan terhadap orang buta mukmin?                                                                                      

 

Raja Mencelah

 

Raja berkata: Adalah tidak masuk akal bahawa perbuatan ini keluar daripada Rasul kemanusiaan dan nabi rahmat. Jikalaulah begitu, wahai al-‘Alawi, kepada siapakah ayat ini diturunkan?

Al-‘Alawi berkata: Hadis-hadis sahih dari keluarga Rasulullah di mana al-Qur’an telah turun di rumah mereka berkata: Sesungguhnya ayat tersebut telah turun tentang Uthman bin ‘Affan. Ia berlaku apabila Ibn Ummi Maktum berjumpa dengan Rasulullah, lantas Uthman menentangnya dan memalingkan belakangnya kepadanya.

Di sini Sayyid Jamal al-Din; seorang ulama Syi‘ah yang hadir di dalam muktamar berkata: Telah berlaku kepadaku tentang kisah ini bersama Surah ini bahwa salah seorang ulama Nasara berkata kepadaku: Sesungguhnya Nabi kami adalah lebih  baik daripada nabi kamu Muhammad (s.a.w). Aku berkata: Kenapa?

Dia berkata: Sesungguhnya nabi kamu mempunyai akhlak yang jahat bermasam muka kepada golongan yang buta dan memalingkan belakangnya  kepada mereka. Sementara nabi kami Isa mempunyai akhlak yang baik menyembuhkan golongan yang buta dan berpenyakit sopak.

Aku berkata: Wahai Masihi, ketahuilah sesungguhnya kami adalah Syi‘ah, kami berpendapat bahawa Surah telah turun tentang Uthman bin ‘Affan dan bukan tentang Rasulullah s.a.w. Sesungguhnya nabi Kami Muhammad s.a.w mempunyai akhlak yang baik, sifat yang terpuji sebagaimana Allah berfirman di dalam Surah al-Qalam (68): 4 “Dan sesungguhnya kamu benar-benar berbudi pekerti yang agung” dan firman-Nya di dalam Surah al-Anbiyaa’ (21): 107 “Dan tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam”

Orang Masihi itu berkata: Sesungguhnya aku telah mendengar kata-kata ini daripada seorang khatib di Baghdad!

Al-‘Alawi berkata: Apa yang masyhur di sisi kami bahwa sebahagian perawi yang jahat telah mengaitkan kisah ini kepada Rasulullah bagi melepaskan Uthman bin ‘Affan. Justeru itu, mereka telah mengaitkan pembohongan kepada Allah dan Rasul sehingga mereka membersihkan khalifah-khalifah mereka!

 

Raja Meminta Pertukaran Tajuk

 

Raja berkata: Tinggalkan tajuk ini dan bercakaplah tentang tajuk yang lain.

 

 

 

 

Syi‘ah Mengingkari Iman Mereka Bertiga

      

Al-‘Abbasi berkata: Sesungguhnya Syi‘ah mengingkari iman ketiga-tiga khalifah, pendapat ini tidak benar, kerana jikalaulah mereka tidak mukminin, kenapakah Rasulullah s.a.w telah menjalani hubungan perkahwinan dengan mereka (musaaharah)?

Al-‘Alawi berkata: Syi‘ah percaya sesungguhnya mereka bertiga tidak mukminin dari segi hati dan batin mereka (qalban wa baatinan) sekalipun mereka menzahirkan Islam secara lidah dan kezahiran[23]. Rasul yang mulia telah menerima Islam setiap orang yang mengucap dua kalimah syahadat sekalipun dia seorang munafik yang sebenar, tetapi beliau s.a.w telah memberi layanan kepada mereka dengan layanan muslimin. Lantaran itu, hubungan perkahwinan Nabi dengan mereka (musaaharah al-Nabi la-hum) dan hubungan mereka dengan Nabi adalah dari bab ini!

 

 

[1] Bilangan Syi‘ah pada abad ke 5 hijrah hampir separuh bilangan keseluruhan kaum muslimin.

 

[2] Nizam al-Mulk telah mengetahui kekuatan hujah Syi‘ah dan kebenaran akidah mereka, tetapi tidak mahu mengikutinya.

 

[3] Kemungkinan muktamar telah diadakan pada bulan Sya‘ban tahun 485 hijrah.

 

[4] Al-Bukhari, Sahih, viii, hlm. 378-385 (Bab fi al-Haud) hadis no.578, 584, 585, 586, 587, 590 meriwayatkan bahawa para sahabat Nabi s.a.w telah murtad selepas kematiannya. Nabi s.a.w bersabda: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya mereka adalah para sahabatku (ashaabi). Dijawab: Sesungguhnya anda tidak mengetahui bid‘ah-bid‘ah (ahdathuu) yang dilakukan oleh mereka selepas anda. Sesungguhnya mereka telah menjadi murtad ke belakang”. Hanya hadis no. 587 meriwayatkan bahawa “Hanya sedikit daripada mereka terselamat seperti unta yang terpisah daripada pengembalanya” Ini disebabakan mereka telah mengubah sunnah Rasulullah s.a.w. Lihat juga, Muslim, Sahih, iv, hlm.1793-6 (Kitab al-Fadhaa’il) hadis no.26, 28, 29, 31 dan 32.Hadis no. 26 meriwayatkan “kerana kamu tidak mengetahui apa yang telah dilakukan oleh mereka (sahabat) selepas anda meninggalkan mereka. Maka aku bersabda: Terjauh, terjauh daripada (rahmat) mereka yang telah mengubah (baddala) sunnahku selepasku”.

 

[5] Melarikan diri.

 

[6] Ibn Sa‘d, Tabaqaat, bhg.2, ii, hlm.41, Ibn ‘Asaakir, Tarikh, ii,hlm.391, Ibn al-Athir, al-Kaamil, ii,hlm.129, al-Muttaqi al-Hindi, Kanz al-‘Umaal,v, hlm.312.

 

[7] Ibn al-Athir, al-Kamil, ix, hlm. 102, Ibn al-Jauzi, al-Muntazam,  vii, hlm. 283.

 

[8] Al-Baihaqi, al-Sunan, ii, hlm. 41, al-Muttaqi al-Hindi, Kanz al-‘Umaal, I, 281.

 

[9] Ibid.

 

[10] Ahli majlis syura: Sa‘d bin Abi Waqqas, Abd al-Rahman bin ‘Auf, Talhah bin ‘Ubaidillah, al-Zubair bin al ‘Awwam dan Ali bin Abu Talib a.s. Umar telah memerintahkan 50 orang tentera supaya mengawal majlis syura dalam masa tiga hari dan berkata kepada mereka: Jika seorang daripada mereka menentang dan lima bersetuju, maka bunuhlah dia. Jika dua menentang dan empat bersetuju, maka bunuhlah kedua-duanya. Dan jika tiga menentang dan tiga bersetuju, maka pilihlah pihak yang ada Abd al-Rahman bin ‘Auf, Ibn Qutaibah, al-Imamah wa al-Siyasah, I, hlm. 24. Ini bererti jika Ali a.s menentang, maka beliau akan dibunuh. Peristiwa di majlis syura ini adalah sama dengan peristiwa di Saqifah Bani Sa’idah di mana-kedua-duanya menolak perlantikan Ali a.s sebagai khalifah. Renunglah kelicikan Umar!

 

[11] Tergesa-gesa atau keterlanjuran. Lihat umpamanya, Tarikh al-Khulafaa’, hlm. 67, al-Shahrastaani, al-Milal wa al-Nihal, 1, hlm. 23, Ibn Hajr, al-Sawaa’iq al-Muhriqah, hlm.8.

 

[12] Ibid.

 

[13] Seramai 110 orang sahabat yang menyaksikan perlantikan Ali a.s oleh Rasulullah s.a.w sebagai khalifah di Ghadir Khum tercatat nama-nama mereka di dalam kitab-kitab Ahl al-Sunnah, lihat al-Amini,al-Ghadir, I, hlm.14- 158.

 

[14] Ibn Hanbal, al-Musnad, iv, hlm.281, Khatib Baghdad, Tarikh Baghdad, viii, hlm 290, Ibn Hajr, al-Sawaa’iq al-Muhriqah, hlm. 107.

 

[15] Al-Bukhari, Sahih, viii, hlm. 208 menyatakan bahawa ayat al-Raghbah adalah sebahagian daripada al-Qur’an, iaitu “Laa targhabuu ‘an aabaa’i-kum”, tetapi ia tidak wujud di dalam al-Qur’an yang ada sekarang. Muslim, Sahih, ii, hlm.726 menyatakan bahawa Abu Musa al-Asy‘ari membaca selepas (Surah al-Saf 61:2) “ Fatauktabu syahaadatan fi a‘naaqi-kum…, tetapi ia tidak dimasukkan di dalam al-Qur’an sekarang.

 

[16] Lihat, umpamanya, al-Baidhawi, Anwar al-Tanzil, ii, hlm 320 tentang Surah al-Najm (53): 19-20 dan lain-lain.

 

[17] “Sesungguhnya neraka Jahannam tidak akan penuh sehingga Allah meletakkan kaki-Nya, maka neraka Jahannam berkata:”cukup, cukup” Ahmad bin Hanbal, al-Musnad, iii, hlm.314, al-Bukhari,Sahih, iii, hlm.127, Muslim, Sahih, ii, hlm.482.

 

[18] Ibn ‘Abd al-Rabbih, al-‘Add al-Fariid, I, 26, Ibn Kathir,Tarikh, viii, hlm 113,

 

[19] Ibn Abi al-Hadid, Syarh Nahj al-Balaaghah, iii, hlm.124.

 

[20] Perbuatan yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w itu, tidak merendahkan kedudukannya mengikut al-‘Abbasi.

 

[21] Al-Bukhari, Sahih, vi, hlm. 210 menyatakan bahwa (Surah al-Lail 92:3) telah ditambah perkataan “Maa khalaqa”, Lantaran itu, ayat asalnya “Wa al-Dhakari wa al- Unthaa” tanpa “Maa khalaqa”. Hadis ini diriwayatkan oleh Abu al-Dardaa’, kemudian ia dicatat pula oleh Muslim, Sahih, I, hlm.565, al-Turmudhi, Sahih, v, v, hlm. 191. Al-Suyuti, al-Itqaan, ii, hlm. 82 meriwayatkan bahawa ‘Aisyah menyatakan (Surah al-Ahzab33: 56) pada masa Nabi s.a.w adalah lebih panjang, iaitu dibaca “ Wa ‘ala al-Ladhiina yusalluna al-Sufuuf al-Uwal” selepas “ Inna llaha wa malaikata-hu yusallaana ‘Ala al-Nabiy” ‘Aisyah berkata: Iaitu sebelum Uthman mengubah mashaf-mashaf”

 

[22] Ahl al-Sunnah berpendapat ganti nama “Dia” di dalan ayat tersebut kembali kepada Rasulullah s.a.w dan bukan kepada Uthman bin ‘Affan.

 

[23] Ali a.s berkata di dalam khutbahnya: “Khalifah-khalifah sebelumku telah melakukan perbuatan-perbuatan yang menyalahi Rasulullah s.a.w  dengan sengaja. Mereka melanggar janji mereka dengan beliau dengan mengubah sunnah-sunnah beliau. Sekarang jika aku memaksa mereka supaya meninggalkannya dan mengembalikan keadaan sebagaimana di zaman Rasulullah s.a.w, nescaya tenteraku akan bertaburan lari dariku, meninggalkanku bersendirian atau hanya sedikit sahaja di kalangan Syi’ahku yang mengetahui kelebihanku, dan imamahku melalui Kitab Allah dan Sunnah Rasulullah s.a.w akan tinggal bersamaku. Apa pendapat kalian, sekiranya aku menempatkan Maqam Ibrahim pada tempat yang telah ditempatkan oleh Rasulullah s.a.w.

Mengembalikan Fadak kepada pewaris-pewaris Fatimah (a.s), mengembalikan timbangan dan ukuran seperti yang lazim di zaman Rasulullah s.a.w, mengembalikan tanah kepada orang yang telah diberikan oleh Rasulullah s.a.w, mengembalikan rumah Ja’far kepada pewaris-pewarisnya dan memisahkannya dari masjid (kerana mereka telah merampasnya dan memasukkannya ke dalam masjid); mengembalikan hukum-hukum yang kejam yang dipaksa oleh khalifah-khalifah yang terdahulu ke atas wanita-wanita yang secara tidak sah telah dipisahkan dari suami mereka, mengembalikan jizyah kepada Bani Taghlab, mengembalikan tanah Khaibar yang telah dibahagi-bahagikan, memansuhkan dewan-dewan pemberian dengan meneruskan pemberian kepada semua orang sebagaimana dilakukan pada masa Rasulullah s.a.w tanpa menjadikannya tertumpu di kalangan golongan kaya, memulihkan pajak bumi, menyamakan kaum Muslimin di dalam masalah nikah kahwin, melaksanakan khums sebagaimana difardukan Allah (swt).

Memulihkan Masjid Nabi seperti bentuknya yang asal pada zaman Nabi s.a.w, menutup pintu-pintu yang dibuka (selepas kewafatan Rasul) dan membuka pintu-pintu yang ditutup (selepas kewafatan Rasul), mengharamkan penyapuan di atas al-Khuffain, mengenakan hukum had ke atas peminum nabidh, memerintahkan halal mut’ah wanita dan mut’ah haji sebagaimana pada zaman Nabi s.a.w, memerintahkan takbir lima kali dalam solat jenazah, mewajibkan kaum Muslimin membacaBismillahir Rahmanir Rahim dengan suara yang nyaring pada masa solat, mengeluarkan orang yang dimasukkan selepas Rasulullah s.a.w di dalam masjidnya, di mana Rasulullah s.a.w  telah mengeluarkannya, memasukkan orang yang dikeluarkan selepas Rasulullah s.a.w (beliau sendiri) di mana Rasulullah s.a.w telah memasukkannya, memaksa kaum Muslimin dengan hukum al-Qur’an dan talak menuruti Sunnah, mengambil zakat menurut jenis-jenisnya, mengembalikan wuduk basuh dan solat kepada waktunya, syariatnya dan tempatnya, mengembalikan ahli Najran ke tempat-tempat mereka, mengembalikan layanan terhadap tawanan perang Farsi dan bangsa-bangsa lain kepada kitab Allah dan Sunnah Nabi-Nya.

Sekiranya aku melaksanakan semua ini, nescaya mereka mengembara meninggalkanku. Demi Allah ketika aku perintahkan mereka supaya tidak melakukan solat jama’ah di masjid pada bulan Ramadhan kecuali solat-solat fardu dan memberitahu kepada mereka bahawa solat sunat berjama’ah (Taraawih) adalah bid’ah, sekelompok tenteraku yang pernah berperang di pihakku mulai berteriak: “Wahai kaum Muslimin! Ali ingin mengubah sunnah Umar dan bermaksud menghentikan kita dari melakukan solat-solat sunat Taraawih pada bulan Ramadhan sehingga aku khuatir mereka akan memberontak. Pada masa yang sama aku sedang menghadapi perpecahan di kalangan umat dan ketaatan mereka kepada pemimpin-pemimpin mereka yang sesat yang hanya menyeru mereka ke neraka (a’immah dhalalah wa al-Du‘ati ila al-Nar).

Aku telah dikurniakan saham kerabat di dalam firman-Nya Surah al-Anfal (7): 41 “ Jika kamu beriman kepada Allah dan kepada apa yang kami turunkan kepada hamba kami (Muhammad) di hari Furqan, iaitu di hari bertemunya dua pasukan.”Maka kamilah yang dimaksudkan dengan dhi l-Qurba(kerabat) di mana Allah telah meletakkan  kami selepas diri-Nya dan Rasul-Nya s.a.w sebagaimana firman-Nya Surah al-Hasyar (59): 7 “Untuk Allah, rasul, kerabat rasul, anak-anak yatim, golongan miskin dan ibnu ssabil (adalah untuk kami secara khusus) agar harta itu tidak hanya beredar di kalangan golongan kaya di kalangan kamu. Apa yang diberikan rasul kepada kamu, maka terimalah dia. Dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah, dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah sangat keras hukuman-Nya” bagi golongan yang telah menzalimi mereka sebagai rahmat daripada-Nya untuk kami dan kekayaan yang Allah kurniakan kepada kami dan Dia telah berwasiat kepada nabi kami mengenainya.

Dia tidak menjadikan sedekah sebagai saham kami. Dia telah memuliakan kami Ahlu l-Bait dengan tidak  memakan sedekah orang ramai (ausakh al-Nas). Justeru itu mereka telah membohongi Allah, membohongi Rasul-Nya dan menentang kitab-Nya yang bertutur dengan hak kami. Mereka telah menghalang kami daripada fardu yang difardukan oleh Allah untuk kami. Inilah yang dihadapi oleh Ahlu l-Bait nabi selepas nabi kita s.a.w. Allah menentang mereka yang telah menzalimi kami dan tiada helah dan kekuatan melainkan dengan Allah Yang Maha Tinggi dan Perkasa” Lihat Raudhat al-Kaafi, Beirut, 1985, viii,  hlm. 51-51 (hadis no.21).

 

Categories: Uncategorized | Leave a comment

Post navigation

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Blog at WordPress.com.

Sufi Muda

Menemukan Tuhan Dalam Keseharian

Doa Ayat dan Zikir

Warisan Budaya Alamiah

WordPress.org Apps

WordPress at your fingertips

Live to Write - Write to Live

We live to write and write to live ... professional writers talk about the craft and business of writing

Genta Rasa

KUATKAN FIKIR, TINGKATKAN ZIKIR

Sweet Talk

Putting the soft in soft science

Hai jiwa-jiwa nan tenang kembalilah...

...perjalanan kembali ke kampung akhirat... hajirikhusyuk.wordpress.com

NUR ADZ DZIKRA

LAA ILAHA ILLALLAH MALIKUL HAQQUL MUBIN MUHAMMAD RASULULLAH SYAHIDUL WADUL. AMIN

FAJAR TIMUR

agar pengetahuan tidak membusuk

:: BENMASHOOR ::

Berkhidmat untuk para pencari informasi seputar Alawiyin

Mutiara Hikmah AhlulBait

Kata Kata Hikmah Buat Pedoman Hidup

DARI CAHAYA KEPADA BIDADARI

Maka... berserakanlah keping bintang bercahaya di hamparan hidupmu

jurnal syiah

kompilasi artikel syiah

The WordPress.com Blog

The latest news on WordPress.com and the WordPress community.

Sufi Muda

Menemukan Tuhan Dalam Keseharian

Doa Ayat dan Zikir

Warisan Budaya Alamiah

WordPress.org Apps

WordPress at your fingertips

Live to Write - Write to Live

We live to write and write to live ... professional writers talk about the craft and business of writing

Genta Rasa

KUATKAN FIKIR, TINGKATKAN ZIKIR

Sweet Talk

Putting the soft in soft science

Hai jiwa-jiwa nan tenang kembalilah...

...perjalanan kembali ke kampung akhirat... hajirikhusyuk.wordpress.com

NUR ADZ DZIKRA

LAA ILAHA ILLALLAH MALIKUL HAQQUL MUBIN MUHAMMAD RASULULLAH SYAHIDUL WADUL. AMIN

FAJAR TIMUR

agar pengetahuan tidak membusuk

:: BENMASHOOR ::

Berkhidmat untuk para pencari informasi seputar Alawiyin

Mutiara Hikmah AhlulBait

Kata Kata Hikmah Buat Pedoman Hidup

DARI CAHAYA KEPADA BIDADARI

Maka... berserakanlah keping bintang bercahaya di hamparan hidupmu

jurnal syiah

kompilasi artikel syiah

The WordPress.com Blog

The latest news on WordPress.com and the WordPress community.

%d bloggers like this: